PENDUDUK di sekitar Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah menyangka bunyi letupan kuat yang berterusan susulan kebakaran sebuah kilang pada Ahad malam, adalah latihan menembak oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Normah Che Noor, 60, seorang penduduk Kampung Penghulu Tua berkata selepas bunyi letupan tidak berhenti, dia bertindak keluar rumah dan melihat dari jauh api menjulang tinggi dan menyedari sebuah kilang mengalami kebakaran.
"Kebetulan pusat latihan Rela terletak tidak jauh dari situ...bila dengar banyak kali tak habis-habis meletup, saya tanya suami kenapa latihan Rela lama sangat.
"Saya dan suami kebetulan nak ke pekan Kuala Ketil, jadi kami naik kereta pusing dulu dekat kawasan kejadian nak tengok dari dekat apa yang berlaku...dari jauh nampak asap merah hitam, rasa bahang, kami tak pergi dekat sebab takut, nampak juga percikan bunga api seolah-olah pertunjukan pula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Seorang lagi penduduk, Rosnani Shaari, 54, berkata kebakaran itu disedarinya kira-kira pukul 7.40 malam dan ia dapat dilihat dengan jelas dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kebakaran.
"Mula-mula ingat Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau yang terbakar, kami lalu depan sekolah tetapi tiada apa-apa, ke depan sikit baru nampak kilang yang terbakar.
"Letupan dan percikan bunga api berpanjangan sampai tengah malam pun ada lagi, malah ketika anak saya meninjau ke lokasi sekitar 2 pagi pun masih ada letupan dan percikan bunga api,” katanya.
Antara anggota bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran melibatkan beberapa buah kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani, pada Ahad malam. — Bomba
Sementara itu, seorang kakitangan sebuah kilang di situ, Tan Ah Chong, 42, berkata, dia terdengar bunyi seperti tembakan pada pukul 7.40 malam tadi.
"Saya ada dalam pejabat, bila dengar bunyi tembakan, disebabkan rasa takut saya dan seorang lagi rakan terus lari keluar dari pejabat untuk menyelamatkan diri.
"Bila agak jauh baru saya berani berhenti dan berpaling ke belakang...saya nampak api besar... rupanya kilang bersebelahan yang terbakar,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati setakat ini, bomba masih menjalankan kerja-kerja overhaul di lokasi kejadian dan masih terdapat tompokan asap yang keluar daripada kawasan kebakaran.
Tiga buah gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani musnah dalam kebakaran, pada Ahad malam.
Kebakaran terbabit menyebabkan berlaku letupan dan percikan ‘bunga api’, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada pukul 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran yang berlaku pada Ahad malam menyebabkan berlakunya letupan dan percikan ‘bunga api’ sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada pukul 10.02 malam. — Bomba
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, bunyi letupan kuat dan berterusan dalam kejadian kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada bateri disimpan di dalam premis terbabit.
Menurutnya, tinjauan pihaknya di lokasi kejadian mendapati terdapat banyak kelongsong bateri ditemukan bertaburan di kawasan itu.
"Bateri-bateri kecil bersaiz A, 3A ... kita tidak menolak kemungkinan percikan dan letupan yang berlaku disebabkan bateri-bateri ini terbakar, itu kemungkinan, sebab ada lagi peralatan lain yang mungkin terdapat di dalam kilang, tapi setakat ini kita tidak boleh nak masuk.
"Keadaan asap di kawasan ini masih tebal dan kita mengutamakan keselamatan pegawai, jadi dalam kebakaran malam tadi, kita sudah berjaya mengawalnya daripada merebak ke sektor lain yang berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Awang Hidzel berkata, setakat ini, pihaknya belum dapat mengenal pasti tahap bahaya asap yang terhasil disebabkan kebakaran itu dan anggota bomba yang terlibat di lokasi kejadian perlu memakai peralatan perlindungan diri sepenuhnya semasa menjalankan tugas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram