SEBUAH Institut Tahfiz dan Kefahaman Quran (Ma’hadul Azhar) di Jalan Pokok Sena, Kampung Banggul dekat Kepala Batas, Pulau Pinang musnah terbakar pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan membabitkan penghuni di maahad yang beroperasi secara persendirian.
Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Affendi Ariffin, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 11.52 pagi.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah pusat tahfiz dua tingkat dengan anggaran keluasan 100 x 80 kaki persegi.
"Kebakaran berlaku di tingkat dua dengan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran sebanyak 40 peratus.
"Kebakaran dikawal pada pukul 12.21 tengah hari. Kerja-kerja pengawalan serta pemadaman kebakaran masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya lagi, hanya terdapat empat pelajar dan seorang ustaz berada di bangunan sebelah. Kesemua mereka dilaporkan selamat.
"Tingkat bawah dijadikan rumah dan tingkat atas dijadikan asrama pelajar. Semasa kebakaran, tiada penghuni di bangunan tersebut," katanya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram