[VIDEO] Litar pintas punca lebih 5 rumah nelayan musnah dijilat api, seorang rentung di Sabah


  • 112
  • Isnin, 04 Dis 2023

Tangkap layar kejadian kebakaran membabitkan lebih daripada lima rumah di Kampung Penggiran Bakau, Semporna sekitar pukul 9 pagi Isnin.

SEORANG lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan tujuh buah rumah di Kampung Pinggiran Bakau, Semporna, Sabah pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun ditemukan rentung dipercayai gagal keluar daripada rumahnya semasa kebakaran berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.02 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati beberapa rumah jenis tidak kekal sudah musnah terbakar dan api semakin cepat merebak.

“Pasukan bomba bertindak pantas menjalankan operasi memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air daripada jentera dan air terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Madzlan, hasil laporan awal, kebakaran itu membabitkan kemusnahan sebanyak tujuh buah rumah, sebuah kedai dan dua buah kereta.

“Selain itu, pasukan bomba turut menemukan seorang mangsa lelaki warga emas rentung semasa pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 11.16 pagi.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan api terpadam sepenuhnya, sebelum operasi ditamatkan pada pukul 12.30 tengah hari,” katanya.

Menurut seorang warga tempatan, @Din menerusi Facebook, kejadian didakwa berpunca daripada litar pintas.

Namun, Madzlan berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram