[VIDEO] Penduduk sesak nafas, 5 rumah musnah terbakar di Sungai Petani


  • 112
  • Rabu, 22 Nov 2023

Tangkap layar kejadian kebakaran membabitkan lima unit rumah di Taman Sri Impian pada pagi Rabu.

SEORANG penduduk terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dalam kebakaran lima unit rumah di Taman Sri Impian, Sungai Petani, Kedah pada awal pagi Rabu.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.49 pagi itu ketika kebanyakan penduduk sedang nenyak tidur.

Menurut saksi kejadian yang enggan dikenali, kebakaran itu menyebabkan ada penduduk yang cemas dan kelam kabut untuk membuka pintu pagar.

"Ada yang sedar berlaku kebakaran lalu mengejutkan jiran yang lain, sebuah rumah tu agak kelam-kabut, tak dapat cari kunci pagar, namun berjaya panjat pagar untuk menyelamatkan diri," katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zin berkata, lelaki yang sesak nafas berusia 30-an itu bagaimanapun telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, dalam kejadian itu, empat buah rumah dianggarkan musnah 90 peratus manakala sebuah lagi terbakar sehingga 30 peratus.

"Kebakaran turut memusnahkan tiga buah motosikal milik penghuni.

"Kerja-kerja overhaul sedang dijalankan dan operasi tamat pada pukul 6.53 pagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram