[VIDEO] Kilang di Kuala Muda dijilat api, bunyi kebakaran boleh didengar sejauh 3km


  • Tular
  • Ahad, 03 Dis 2023

Tangkap layar video tular yang dirakam dari jauh memaparkan keadaan kebakaran di kilang tersebut yang terletak di Bukit Selambau, Kuala Muda, Kedah pada petang Ahad.

TULAR satu kejadian kebakaran dipercayai membabitkan sebuah kilang di Bukit Selambau, Kuala Muda, Kedah pada petang Ahad.

Beberapa klip dikongsikan orang awam memaparkan api sedang marak dan mengeluarkan kepulan asap cukup tinggi.

Malah, meskipun video tersebut diambil daripada lokasi yang agak jauh, bunyi kuat seakan-akan letupan berpunca daripada kebakaran berkenaan juga boleh didengar dengan agak jelas.

Menurut maklumat dikongsikan orang awam, bunyi kebakaran berkenaan boleh didengar sejauh kira-kira 3 kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Pada masa sama, jentera pasukan bomba juga difahamkan sudah berada di lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Kedah, Azhari Abdullah berkata, kebakaran melibatkan pasukannya digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kebakaran pada pukul 7.57 malam.

“Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, BBP Sungai Petani, BBP Yan, dan BBP Kulim Hi-Tech digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

“Terdapat juga berlaku letupan berbentuk bunga api di kawasan itu.

“Operasi pemadaman sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba yang juga dibantu oleh pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya dalan kenyataan pada Ahad.

Azhari berkata, setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Pada masa sama, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Wan Mohd Hamizi bin Wan Mohd Zin berkata, memaklumkan tiga buah gudang penyimpanan barang terpakai yang terdiri daripada logam tembaga, wayar, dan bateri turut terbakar.

Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.02 malam dan kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan oleh pasukan bomba dan pasukan bomba sukarela.

“Pasukan khas unit HAZMAT daripada BBP Kulim Hi-Tech diarahkan ke lokasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan pada hari yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram