[VIDEO] Tekanan air rendah sukarkan bomba padam gudang syarikat kopi terbakar di Melaka


  • 112
  • Isnin, 27 Nov 2023

Operasi memadam kebakaran masih dijalankan pada Isnin ekoran dari masalah yang dihadapi pihak bomba kerana tekanan air yang rendah. — Bomba Melaka

GUDANG sebuah syarikat kopi tempatan musnah dalam kebakaran di Taman Teknologi Cheng, Melaka pada Ahad.

Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.59 malam Ahad, sebelum ke lokasi kejadian dan tiba empat minit kemudian.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran gudang kilang kopi tersebut melibatkan 23 anggota dengan bantuan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan dua lori tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Melaka Tengah dan Tangga Batu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah gudang syarikat kopi tempatan yang berkeluasan 120-meter (m) x 60m telah terbakar hampir 90 peratus.

"Sehingga pukul 8.40 pagi Isnin, operasi memadam kebakaran masih belum tamat dan antara masalah yang dihadapi pihak bomba ialah tekanan air yang rendah, menyukarkan usaha memadam kebakaran walaupun api berjaya dikawal pada 11.05 malam tadi (Ahad),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Khairul Nizam berkata, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram