Lebih 7 juta rakyat mohon eMADANI dalam tempoh 9 jam


  • Primer
  • Isnin, 04 Dis 2023

Kredit e-dompet akan dimasukkan dalam masa satu sehingga lima hari dari tarikh permohonan.

KEMENTERIAN Kewangan menerima lebih 7 juta permohonan bagi inisiatif kredit RM100 eMADANI setakat pukul 5 petang Isnin.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan (MoF) menerusi satu hantaran di Facebooknya.

"Terima kasih kami ucapkan atas kesabaran anda dan kami memohon maaf terhadap segala kesulitan yang dihadapi," ujar hantaran tersebut.

Dalam pada itu, MoF menjelaskan bahawa masalah teknikal dialami pada awal pembukaan pendaftaran eMADANI sudah berjaya ditangani bagi membolehkan proses tersebut kembali berfungsi seperti biasa.

Kementerian Kewangan pada masa sama turut mengingatkan, permohonan program eMADANI dibuka sehingga 20 Februari 2024.

"Oleh yang demikian, penerima eMADANI masih mempunyai tempoh yang panjang, iaitu lebih daripada dua bulan untuk membuat pendaftaran melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

"Bagi penerima yang memenuhi syarat kelayakan dan telah melalui proses verifikasi ‘Know-Your-Customer’ (eKYC) semasa pendaftaran, anda akan menerima kredit RM100 eMADANI di dalam e-dompet dalam masa satu sehingga lima hari dari tarikh permohonan," katanya.

Program eMADANI merupakan satu inisiatif Kerajaan yang diumumkan di bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram