Jangan terpedaya, eMadani tidak boleh tebus secara tunai — MOF


  • Primer
  • Isnin, 04 Dis 2023

Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan penipuan tebusan kredit eMadani di media sosial. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mengingatkan bahawa kredit eMadani tidak boleh ditebus secara 'peer-to-peer' atau penebusan secara tunai.

MOF menjelaskan bahawa Program eMadani dilaksanakan untuk menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

"Oleh itu, kredit eMadani tidak boleh digunakan dalam cara pemindahan berikut atau penebusan secara tunai.

"Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terlibat iaitu MAE, Setel, ShoppeePay dan Touch 'n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, MOF juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai (cash out) atau pemindahan 'peer-to-peer' kredit eMadani oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

msg1050426791-19772

Kredit eMadani yang boleh ditebus secara dalam talian sahaja. — MOF

Ia bertujuan untuk mengelakkan penerima bantua tersebut daripada menjadi mangsa penipuan atau scam terutamanya di media sosial.

"MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan 'peer-to-peer' atau penebusan tunai.

"Pihak kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMadani jika terdapat laporan berkenaan kes tersebut," katanya.

Sementara itu, pendaftaran program eMadani dibuka bermula Isnin hingga 20 Februari 2024 dan akan memanfaatkan seramai 10 juta rakyat dewasa yang layak meliputi golongan B40 dan M40.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang MOF atau klik link yang disediakan : https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMADANI. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram