Bapa keluar 3 jam beli makanan jumpa anak mati, polis syak ada unsur dera dan pengabaian


  • 112
  • Isnin, 04 Dis 2023

Zam Halim berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HKL untuk proses bedah siasat. — Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas dipercayai menjadi mangsa dera dan pengabaian penjaga di sebuah kediaman dekat flat Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, mangsa pada awalnya ditemui tidak sedarkan diri oleh bapanya kira-kira pukul 2.30 petang.

Ujarnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang tidur di dalam bilik ketika bapanya keluar untuk membeli makanan pada pukul 11.30 pagi.

“Apabila lelaki itu pulang ke rumah pada jam 2.30 petang, dia menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Zam Halim berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

Katanya, hasil pemeriksaan awal pihak hospital mengesyaki terdapat unsur penderaan dan pengabaian oleh penjaga kanak-kanak terbabit.

“Polis sudah merakam keterangan bapa mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Zam Halim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis. Maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram