Ibu tunggal, rakan tomboy tukar pengakuan kes dera budak 7 tahun di Pasir Gudang


Pasangan rakan tersebut menukar pengakuan kepada bersalah, ketika sebutan kes berkenaan pada Rabu. — Bernama

SEORANG ibu tunggal dan rakan wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Rabu atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak lelakinya berumur tujuh tahun di Pasir Gudang.

Wanita itu yang berumur, 27, dan rakannya warga Singapura berumur, 30, menukar pengakuan kepada bersalah, ketika sebutan kes berkenaan pada Rabu.

Hakim VM Mabel Sheela kemudian menetapkan 10 Oktober untuk mendengar fakta kes, sebelum menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua mereka.

Bagi pertuduhan pertama mereka didakwa dengan niat bersama menganiaya kanak-kanak berkenaan yang berada di bawah jagaan mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Pertuduhan kedua pula, kedua-dua wanita itu yang masing-masing seorang suri rumah dan juruteknik di sebuah kilang itu didakwa dengan niat bersama mengabaikan kanak-kanak berkenaan yang di bawah penjagaan mereka.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lepas.

2228283

Kes dera kanak-kanak berusia tujuh tahun yang berlaku di kawasan perumahan Bandar Layangkasa, Pasir Gudang turut tular di sosial media.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala peguam Abd Rahim Ali mewakili kedua-dua tertuduh.

Mahkamah turut mengekalkan ikat jamin suri rumah itu sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan ikat jamin juruteknik itu iaitu RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mahkamah juga mengekalkan syarat tambahan dengan kedua-dua wanita terbabit perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tidak boleh mengganggu mangsa.

Pada 16 Ogos lepas, kedua-dua wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak lelaki itu.

Abd Rahim ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, sehingga kini ahli keluarga atau kenalan bagi kedua-dua anak guamnya tidak membayar wang jaminan sejak mereka dituduh. —Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram