[VIDEO] Bukan setakat diberi makan nasi lauk garam, lada hitam, cikgu sayu dengar Adik Wadan kena dera ibu tiri dan bapa kandung


  • Tular
  • Rabu, 13 Sep 2023

Wadan nekad melarikan diri ke rumah gurunya kerana tidak tahan didera oleh ibu dan bapanya sendiri.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dipercayai didera satu badan oleh bapa kandung dan ibu tirinya.

Perbuatan kejam itu terbongkar selepas budak lelaki yang dikenali sebagai Wadan itu nekad melarikan diri ke rumah gurunya.

Menerusi perkongsian video di laman TikTok pada Rabu, anak tidak berdosa itu mendedahkan sendiri beberapa insiden malang yang menimpa dirinya di rumah.

Video itu dirakam oleh beberapa individu dipercayai guru-guru Wadan yang turut terkesan dengan keadaan menimpa anak murid mereka.

Luah Wadan, matanya pernah ditumbuk oleh ibu tirinya hingga bengkak sewaktu bapanya bertugas di Melaka.

Lebih menyedihkan, anak kecil itu juga memberitahu bahawa bapanya pernah bertindak kejam dengan menghempas dirinya ke lantai hingga mendatangkan kecederaan kepadanya.

Bukan setakat dirotan sehingga berbirat di seluruh badan, malah Wadan juga mengakui dia hanya diberi makan nasi berlaukkan garam, cili dan serbuk hitam semata-mata.

Dia juga difahamkan pernah dirotan hanya gara-gara mengambil burger yang dibeli oleh bapanya, sedangkan pada ketika itu dirinya sedang menahan lapar.

Akibat tidak tahan diperlakukan seperti binatang, Wadan nekad melarikan diri melalui pintu dapur untuk ke rumah gurunya dan menceritakan segala-galanya tentang sisi gelap pasangan suami isteri itu.

Dalam pada itu, media pada Rabu melaporkan tentang satu kes melibatkan sepasang suami isteri yang ditahan polis dipercayai mendera seorang budak lelaki berusia enam tahun dalam kejadian di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 2.30 petang sebelum diselamatkan oleh pihak polis.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah didera sejak Mac lalu hingga kini, yang mana mangsa telah dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandungnya menggunakan tangan, senduk kayu, ditendang dan dirotan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram