Budak lelaki lari rumah bongkar kisah didera bapa kandung, ibu tiri di Jempol


  • 112
  • Rabu, 13 Sep 2023

Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, Negeri Sembilan. — Agensi

TINDAKAN seorang budak lelaki berusia enam tahun melarikan diri dari rumah membongkar kisah dera sepasang suami isteri yang ditahan polis dalam kejadian di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan pada Selasa.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu melarikan diri dari rumahnya setelah tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh pasangan tersebut yang merupakan bapa kandung dan ibu tirinya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 2.30 petang sebelum diselamatkan oleh pihak polis.

"Terdapat kesan luka pada badan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah didera sejak bulan Mac lalu hingga kini, yang mana mangsa telah dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandungnya menggunakan tangan, senduk kayu, ditendang dan dirotan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Chang Hook berkata, mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan telah disahkan oleh doktor bahawa mangsa mengalami pelbagai kecederaan.

"Berdasarkan siasatan juga mendapati tiga lagi adik-beradiknya tidak didera, hanya mangsa," katanya.

Justeru katanya, bertindak atas maklumat sepasang suami isteri berumur 27 dan 31 tahun telah ditahan pada hari sama.

Menurutnya, lelaki berkenaan bekerja di kilang kayu manakala isterinya suri rumah telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram