SEORANG wanita warga emas maut selepas terlibat dalam sebuah kemalangan melibatkan lori tangki minyak di Kuching, Sarawak pada Sabtu.
Lebih mengerikan lagi, dalam kejadian yang berlaku di hadapan markas Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang berlokasi di Jalan Batu 15, Kuching itu, mangsa didakwa diseret beberapa meter ketika kejadian.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan Francis Ngu di media sosial memaklumkan mangsa dikenali sebagai Marsitah Abdullah, 64 tahun dalam perjalanan menuju pulang ke rumah.
"Kemalangan di depan TUDM Kuching. Mangsa wanita maut dilanggar oleh sebuah lori membawa minyak.
"Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa semoga tabah menghadapi ujian tuhan ini.
"Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk bukti," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Nikcole Evan mendakwa pemandu lori tangki minyak itu melarikan diri selepas kejadian.
"Mangsa langgar lari. Harap pelaku dapat ditangkap secepat mungkin. Tak patut dah langgar kemudian lari. Mana sikap bertanggungjawab.
Difahamkan, keluarga mangsa juga sudah membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Namun setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram