[VIDEO] Polis buru suspek rodok penjual mi guna pisau di Taman Cemerlang


  • 112
  • Ahad, 03 Dis 2023

Tangkap layar peniaga makanan sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat cedera ditikam di perut oleh seorang lelaki tidak dikenali pada Sabtu.

SEORANG lelaki yang juga penjual mi di sebuah restoran di Taman Cemerlang Rapat, Ipoh, Perak berdepan dengan detik menakutkan selepas dia secara tiba-tiba ditikam menggunakan senjata tajam di perut oleh pelanggan pada Sabtu.

Kejadian itu juga berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di premis kedai tersebut.

Beberapa video dan gambar yang memaparkan wajah suspek turut ditularkan di sosial media pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hasaan berkata, semakan mendapati kejadian berlaku pukul 6 pagi semalam apabila mangsa berusia 44 tahun ditikam suspek menggunakan pisau.

"Mangsa berniaga mi di restoran itu. Dia cedera di perut ditikam dengan pisau seorang pelanggan tidak dikenali," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, mangsa yang cedera di perut dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Polis sedang mengesan suspek yang masih bebas serta meminta orang ramai untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram