SEORANG lelaki di Amerika Syarikat (AS) terpaksa menggunakan kerusi roda seumur hidup selepas tertembak di kepala oleh kawannya sendiri ketika bersiaran secara langsung di laman sosial Facebook kira-kira lima tahun lepas.
Walaupun kejadian itu berlaku pada awal Jun 2018, namun ia tetap masih boleh dijadikan pengajaran buat orang ramai di luar sana agar tidak menggunakan senjata api tanpa pengawasan dari orang bertauliah.
Ketika insiden ngeri itu berlaku, mangsa, Devyn Holmes berada di tempat duduk pemandu manakala rakannya, Monique Sparks duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan tersebut.
Seorang lagi rakan mereka yang tidak didedahkan nama pula berada di tempat belakang.
Ketiga-tiga sahabat pada waktu itu dilihat sedang berseronok sambil membuat 'live' di Facebook sebelum Monique mengambil pistol tersebut daripada mangsa.
Holmes sempat menegur suspek untuk tidak bermain senjata api tersebut sebelum secara tiba-tiba dia tertembak mangsa di kepala.
Mangsa yang terkulai layu selepas ditembak dikejarkan ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.
Dia bernasib baik terselamat daripada tindakan tersebut namun lumpuh separuh badan.
Insiden mengerikan itu juga disaksikan semua yang menonton 'live' terbabit.
Rentetan itu, Monique dipenjarakan selama enam bulan atas kesalahan menggunakan senjata api. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram