[VIDEO] Dah angkat tangan signal minta maaf tapi rider berhelmet 'full face' kena cepuk pemandu botak


  • 112
  • Ahad, 03 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang penunggang motosikal menjadi mangsa buli jalan raya di Bintulu pada Ahad.

SEJAK kebelakangan ini, kita sering disajikan dengan kes buli di jalan raya. Malah kejadian itu dilihat semakin hari kian menjadi-jadi sehingga mengundang pergaduhan dan serangan fizikal kepada mangsa.

Selain itu, pembuli jalanan ini juga sering menimbulkan masalah kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, satu video dimuat naik seorang individu menerusi Facebook, Pembuli Emas Bintulu pada Ahad mendakwa seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi diserang secara fizikal oleh pemandu lain.

"Kejadian pagi tadi (Sabtu) di Jalan Kemena, Bintulu. Kawan saya dalam perjalanan pergi bekerja sebelum pukul 8 pagi tadi.

"Dia tidak sedar motosikalnya dihimpit dari laluan kanan ke kiri sehingga hampir kemalangan.

"Pemandu kereta itu secara tiba-tiba memberhentikan kenderaannya dan keluar menampar penunggang motosikal tersebut," tulisnya.

Dalam video berdurasi 14 saat yang dirakam oleh orang awam itu kelihatan jalan agak lengang.

Pemandu kenderaan jenis Toyota Vios itu pada mulanya memberhentikan kenderaan di tepi jalan raya dan menjerit ke arah mangsa.

Penunggang motosikal itu pula sudah mengangkat tangan seakan-akan memberi signal meminta maaf kerana mungkin tidak sengaja menghimpit kerana pemandu terbabit.

Pemandu itu bagaimanapun secara tiba-tiba menampar mangsa yang mengenakan helmet full-face.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, polis kini memburu pemandu kereta Toyota Vios putih yang tular mengasari seorang penunggang motosikal di Jalan Kemena.

"Pihak polis masih dalam usaha mencari dan mengesan pemandu Vios terbabit untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mengasari atau cubaan mendatangkan kecederaan dengan menampar pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram