[VIDEO] Sengaja tinggalkan 4 anak kat pondok pengawal, bapa berdepan hukuman jel 5 tahun, denda RM20,000


Kamarul (kanan) bapa kepada empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal minggu lepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu. — Bernama

BAPA kepada empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal minggu lepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ipoh, Perak pada Jumaat atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu.

Kamarul Kamil Abd Rifin, 33, didakwa melakukan pengabaian terhadap empat anaknya berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun di hadapan Kompleks Pejabat dan Kuarters Kerajaan di Kampung Gajah, Perak pada pukul 10.44 pagi, 23 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33 (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Individu yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu juga boleh diperintahkan melaksanakan khidmat masyarakat tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan oleh mahkamah.

Hakim Azizah Ahmad menetapkan 6 Februari untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas Kamarul Kamil.

Pada Isnin lepas, polis menahan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dalam tangkapan berasingan selepas menerima laporan mengenai kejadian itu daripada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

Kejadian itu membabitkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan tiga tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata, berdasarkan keterangan, adik-beradik malang itu dipercayai ditinggalkan oleh seorang wanita tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram