[VIDEO] Kapal terbang tiba awal punca Presiden Jerman tidak disambut di ‘airport’ Qatar


  • Benua
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Tangkap layar Presiden Jerman, Frank Walter Steinmeier dilihat berdiri di pintu A-350 sejurus selepas mendarat di Qatar. — Agensi

PRESIDEN Jerman, Frank Walter Steinmeier dibiarkan menunggu selama 30 minit di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar selepas tiada seorang pun pegawai atau wakil dari Qatar menyambut pemimpin berkenaan pada Khamis.

Lebih memalukan lagi, insiden tersebut dirakam dan tular di media sosial pada hari yang sama.

Melalui rakaman tersebut, kelihatan Frank dilihat berdiri seorang diri di pintu pesawat A-350 sejurus selepas mendarat di Qatar.

Memetik laporan media antarabangsa, Global Village Space, pihak berkuasa telah membentang permaidani merah dan mengatur beberapa pengawal kehormat tentera untuk menyambut figura penting itu.

Namun, pada hari kejadian, tiada pegawai Qatar kelihatan di lapangan terbang untuk menyambutnya.

Pada masa sama, duta Jerman, Lothar FriesChalder juga dilihat menunggu kehadiran pegawai Qatar itu.

Tidak lama kemudian, kelibat Menteri Negara Hal Ehwal Luar Qatar, Sultan bin Saad Al Muraikhi tiba di lapangan terbang untuk mengalu-alukan Presiden Jerman tersebut.

Difahamkan, selepas kejadian itu, Frank kemudiannya berjumpa dengan Emir Qatar Tamim bin Hammad al Thani.

Qatar adalah persinggahan terakhir dalam jelajah tiga negara Timur Tengah presiden tersebut.

Sebelum melawat Qatar, beliau melawat Oman dan Israel.

Insiden tersebut turut mencetuskan pelbagai tanda tanya mengenai hubungan diplomatik antara dua negara tersebut namun menurut media Jerman, penerbangan pemimpin Jerman itu tiba sedikit lebih awal daripada yang dijadualkan.

Untuk rekod, Qatar merupakan pengantara utama antara Hamas dan Israel. Negara Timur Tengah itu memainkan peranan penting dalam memastikan pembebasan tawanan dan tebusan daripada tawanan Israel dan Hamas.

Perjanjian berterusan antara Hamas dan Israel juga menyaksikan terhentinya serangan udara ke atas Gaza oleh Israel yang berterusan selama lebih sebulan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram