[VIDEO] Bukan takat tak bayar tol, samseng jalan raya bertindak biadab langgar, tahan kereta keluarga di Sungai Besi


  • Tular
  • Ahad, 03 Dis 2023

Tangkap layar video daripada kamera papan pemuka kereta mangsa memaparkan suspek bertindak keluar dari kenderaan dan menuju ke arah mangsa.

SEBUAH keluarga berdepan detik menakutkan selepas kereta dinaiki dilanggar dan ditahan oleh kenderaan lain yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian berdekatan Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Insiden itu dikongsikan sendiri oleh mangsa menerusi beberapa video yang dimuat naik menerusi ciapan di akaun X miliknya yang menggunakan nama Ameer Syazwan.

Berdasarkan klip tersebut, kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.25 malam itu dipercayai berpunca selepas tindakan suspek mengikuti rapat kereta mangsa untuk lari daripada membayar tol.

Bagaimanapun, selepas berjaya melepasi plaza tol berkenaan, suspek yang memandu kenderaan Perodua Myvi berwarna putih dilihat memotong dari arah kanan sebelum melanggar dan bergesel dengan kereta mangsa.

Lebih memeranjatkan, suspek kemudiannya juga turut bertindak seperti samseng jalan raya dengan berhenti di hadapan kereta mangsa yang ketika itu sedang dipandu di lorong kanan.

GAWnKnEbcAAzJYZ

Kerosakan dialami kereta mangsa ekoran insiden tersebut. — Twitter/Ameer Syazwan

Meskipun mangsa dilihat cuba untuk meneruskan perjalanan dengan menukar arah laluan, suspek didapati terus mengekori sebelum menahan kereta mangsa di lorong kiri jalan.

Menerusi video tersebut, suspek juga didapati keluar dari kereta dan berjalan ke arah kenderaan mangsa.

Bagaimanapun, klip tersebut tidak menunjukkan insiden yang berlaku selepas itu.

"Sila berhati-hati dengan pembuli jalan raya ini yang melanggar kereta keluarga saya yang waktu itu turut dinaiki oleh bayi saya, hanya untuk mengelak daripada membayar tol," tulis mangsa.

Dalam pada itu, mangsa yang difahamkan masih trauma susulan kejadian itu memaklumkan bahawa laporan polis sudah dilakukan berhubung insiden tersebut pada malam yang sama.

Setakat waktu berita ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram