KES melibatkan seorang penunggang p-hailing yang tular sejak 1 Oktober lepas masih mendapat perhatian ramai terutama dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Mengalami kecederaan teruk ekoran daripada tumbukan yang dilakukan oleh seorang pemandu Saga itu, ayah kepada mangsa berkenaan tampil bagi menuntut keadilan dan ganti rugi buat anak lelakinya itu.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebook IMIKA Pekan pada Isnin, ayah mangsa yang mahu dikenali sebagai Abang Man itu dilihat sebak dengan kejadian yang menimpa anaknya, Razie Danial.
Dalam video tersebut juga ada menyatakan bahawa mangsa tidak dapat hadir bersama kerana masih dalam keadaan trauma selepas kejadian itu.
Menurut Abang Man, anaknya mengalami kecederaan teruk pada badan dan rusuk kirinya retak serta mengalami kesukaran bernafas kesan daripada tumbukan ketika kejadian berlaku.
"Sebelum video viral tersebut direkod lagi, mangsa telah dibelasah dengan lebih teruk, sangat tidak wajar hanya kerana isu hon, anak saya dibelasah tanpa belas kasihan," katanya.
Bukan itu sahaja, mangsa juga sedang mengalami kemurungan dan tekanan emosi dan hanya berehat di rumah buat sementara waktu.
Mengulas lanjut, pemilik akaun Facebook itu turut prihatin untuk membantu bagi mangsa dan keluarganya mendapat keadilan dan ganti rugi yang sepatutnya.
"Abang Man sedikit sebak ketika bercerita kepada saya dan berkata, apalah salah anak saya sehingga diperlakukan begitu," tulisnya dalam video tersebut.
Tambahnya lagi, tiada sebarang kemalangan yang berlaku tetapi pembuli tersebut bertindak ganas kerana isu hon sahaja.
"Saya telah berbincang dengan ayah mangsa tentang strategi kita untuk menuntut ganti rugi untuk anaknya.
"Saya juga telah menyediakan satu pasukan peguam bagi memastikan nasib anaknya terbela," katanya lagi.
Sementara itu, orang awam turut dinasihatkan untuk mengambil pengajaran daripada isu yang telah berlaku itu.
Pada Ahad, tular sebuah video memaparkan seorang penunggang p-hailing dipukul dan ditumbuk oleh seorang pemandu kereta di sebuah jalan berhampiran lampu isyarat di Jalan Langat-Klang, Selangor.
Pemandu kereta terbabit, Mohd. Faizul Nazri, 39, yang juga seorang pekerja bengkel dipenjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku salah.
Mohd. Faizul membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Siti Zubaidah dalam penghakimannya menegur Mohd. Faizul yang bertindak sesuka hati seolah-olah hendak ‘menunjuk hebat’ di jalan raya apabila membelasah mangsa yang juga merupakan seorang penghantar makanan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram