TINDAKAN seorang pembuli jalan raya memandu secara berbahaya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Tapah, Perak akhirnya mengundang padah apabila ditahan polis.
Kejadian tular di media sosial sejak Rabu itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 petang Selasa di Kilometer 318 PLUS arah utara.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya mengesan video itu tular di X, menunjukkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dipandu melulu dan berbahaya.
"Seorang lelaki berumur 32 tahun dipercayai mangsa dalam kejadian itu membuat laporan polis pada pukul 4.51 petang Rabu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Naim berkata, siasatan kemudian dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek ditahan ketika hadir untuk membantu siasatan, pukul 8 malam Rabu.
Menurutnya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095.
"Pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu supaya tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram