SEORANG penunggang motosikal bertindak memecahkan cermin belakang kereta berwarna kelabu yang dipandu seorang wanita di Philadelphia, Amerika Syarikat pada Ahad.
Menerusi rakaman video berdurasi 56 saat yang tular sejak Khamis, sekumpulan pemuda bermotosikal pada mulanya mengelilingi kereta wanita itu yang bersama dua anaknya.
Secara tiba-tiba, salah seorang penunggang motosikal yang memakai topi keledar kemudiannya melompat ke atas kereta itu sambil memecahkan cermin belakang.
Suspek, Cody Heron, 26, bertindak secara agresif sebelum melambaikan pistol terhadap mangsa sebelum berlalu pergi selepas bertengkar dengan wanita terbabit.
Timbalan Pesuruhjaya Polis I, John M. Stanford berkata, suspek berjaya dikesan dengan bantuan orang awam sebelum ditahan pada Khamis.
Polis, ujarnya, merampas beberapa barang termasuk pistol 9 milimeter sebagai bukti dari sebuah rumah di Frankford, Philadelphia, Amerika Syarikat.
Cody Heron kini disiasat atas pelbagai pertuduhan serangan keganasan dan ikat jamin ditetapkan pada $2.5 million (bersamaan RM11.7 juta).
Selain itu, Cody turut didakwa atas tuduhan membahayakan secara melulu dan memiliki senjata yang digunakan dalam jenayah berhubung kejadian memecahkan cermin kereta.
Polis menyifatkan tindakan itu sebagai kelakuan keji, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, mangsa Nikki Bullock berkata, ketika itu dia sedang membuat penghantaran makanan UberEats sambil membawa anak perempuan dan lelakinya yang berusia 5 dan 2 tahun sebelum tiba-tiba diserang suspek.
Meskipun trauma, Nikki bersyukur kerana anak-anaknya tidak cedera akibat insiden itu.
“Mereka baik-baik sahaja. Tiada satu calar pun,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram