Kerajaan Perpaduan mampu laksana inisiatif Ekonomi Madani berdasarkan peruntukan belanjawan


  • Primer
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat dilancarkan pada 27 Julai lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KERAJAAN Perpaduan mampu merealiasaikan pelaksanaan inisiatif yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau menyuarakan keyakinan itu dengan mengambil kira kemampuan jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 billion yang telah diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini.

"Kenapa kita kata duit itu ada, kerana kita mengutip hasil daripada cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam, serta perolehan dividen tertentu," katanya menerusi program Ruang Bicara bertajuk "Bantuan Kerajaan Madani memanfaatkan rakyat” terbitan Bernama TV, pada Khamis.

Bagi menjayakan usaha Kerajaan Perpaduan, Ahmad turut menggalakkan semua kementerian menggunakan keseluruhan sumber yang telah diperuntukkan dalam melaksanakan inisiatif yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

"Usaha ini bukan hanya dilakukan oleh sesebuah kementerian, ia dilakukan oleh semua kementerian, maka Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah meminta semua kementerian menggariskan inisiatif yang bakal dilaksanakan.

"Namun jika ada bajet tambahan yang diperlukan, mereka perlu memohon kepada Kementerian Kewangan sebelum kita bentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober depan," ujarnya.

Inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat dilancarkan pada 27 Julai lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan hasil perbincangan pelbagai pihak, pakar ekonomi, perancang, penjawat awam dan diperkemas setelah mendapat pandangan golongan pekerja, petani, wanita, peneroka dan belia melalui siri wacana dan hasil pertemuan dengan rakyat di masjid, warung dan kampus universiti.

Kerangka ekonomi itu merupakan insiatif untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun antaranya Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia serta peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata sesi libat urus berkaitan Belanjawan 2024 yang berlangsung sejak beberapa minggu lepas telah memberi penekanan terhadap usaha memperkasakan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Pihak kementerian, sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan dan agensi yang terlibat dengan sesi tersebut juga telah diterangkan mengenai konsep Ekonomi Madani yang akan dilaksanakan.

"Mereka yang hadir adalah terdiri daripada pihak yang berkaitan dalam merangka Belanjawan 2024 serta telah memahami sedikit sebanyak berhubung konsep yang telah diterangkan," tambah beliau. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram