Kerajaan tambah RM30 juta peruntukan naik taraf laluan Gerik-Jeli


  • Primer
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan tetamu pada majlis pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya di Gerik, Perak pada Khamis. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik-Jeli.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan tersebut yang dianggarkan kosnya sebanyak RM80 juta sehingga RM100 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat banyak permohonan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negara dan beliau akan mengkajinya dalam Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan pada Oktober.

"Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” kata beliau dalam ucapan ketika melancarkan Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Gerik, Perak pada Khamis.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebelum ini Alexander mengumumkan RM30 juta peruntukan awal daripada KKR bagi menaik taraf dan menyelenggara laluan tersebut.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia berjumlah RM370 juta pada tahun ini.

Beliau berkata RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi.

"RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan,” kata beliau.

GERIK, 24 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan momento penghargaan Setia Bakti Myjalan kepada Mohd Shahril Long (tiga, kanan) pada majlis pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya di Jeti Awam Pulau Banding hari ini.Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua, kanan) dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kiri).-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar menyampaikan momento penghargaan Setia Bakti Myjalan kepada Mohd Shahril Long (tiga, kanan) pada majlis pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya di Gerik, Perak pada Khamis. — Bernama

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut meluluskan RM250 juta bagi peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil bumiputera.

Sementara itu, Anwar turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang dicurahkan.

Anwar juga menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 orang bekas pekerja dan waris keluarga yang terlibat dengan pembinaan JRTB (FT004) itu.

Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis telah merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, seramai tiga orang petugas JKR telah terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan ini.

Pada sidang media kemudiannya, Nanta berkata kerja, membaiki laluan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan dikendalikan syarikat konsesi.

"Dengan peruntukan tambahan ini kita boleh membelanjakan bagi kerja-kerja lebih berat dan bukan sekadar menampal jalan sahaja kerana jalan ini sudah lama.

"Laluan itu juga boleh dibina semula, mungkin mana-mana kerja yang diperlukan nanti terpulang kepada pihak teknikal apa pembaikan yang perlu dibuat menggunakan peruntukan ini,” katanya.

Ditanya sama ada peruntukan itu turut digunakan bagi tambahan lampu jalan berikutan kawasan yang terlalu gelap, beliau berkata segala keperluan akan diteliti terlebih dahulu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram