[VIDEO] KJ dakwa ada bukti Najib kenal Altantuya


  • Massa
  • Jumaat, 01 Dis 2023

KJ (kanan) menunjukkan sekeping gambar yang dikatakan sebagai bukti Najib mengenali Altantuya kerana mereka bersarapan bersama dengan seorang lagi individu, Abdul Razak Baginda.

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengenali Altantuya Shaariibuu, warga Mongolia yang dibunuh pada 2006.

Dakwaan itu didedahkan Khairy Jamaluddin atau dikenali sebagai KJ menerusi program podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan beliau bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Dalam temu bual tersebut, Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijemput menjadi tetamu undangan untuk berbicara tentang kes pembunuhan Altantuya.

"Saya ada bukti Datuk Seri Najib kenal Altantuya dan pendedahan eksklusif ini akan mengejutkan satu dunia," kata KJ sambil menunjukkan gambar bekas perdana menteri keenam itu sedang bersarapan dengan Altantuya dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Bagaimanapun ujar KJ, Najib dan peguam terkenal tersebut sebelum ini menafikan perkara tersebut.

"Dia (Najib) kata tidak, saya tidak kenal siapa perempuan (Altantuya) tersebut dan tidak pernah menemuinya.

"Najib tidak rasa Altantuya pernah berada dalam satu hotel yang sama (dengannya) sama ada dalam dan luar negara," katanya menceritakan semula perbualannya bersama Najib.

Menjelaskan secara lanjut, Muhammad Shafee yang juga peguam mewakili Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, perbicaraan kes Altantuya di Mahkamah Tinggi melibatkan tiga individu.

Jelasnya, dua orang yang terlibat dituduh sebagai pembunuh, manakala Razak Baginda didakwa sebagai rakan subahat dalam kes berkenaan.

"Kes Razak Baginda dibuang kerana tidak cukup bukti manakala bekas pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dipanggil pembelaan mereka serta didapati bersalah.

"Sepanjang perbicaraan, nama Najib tak keluar langsung, kosong," katanya.

Berhubung dengan insiden kes pembunuhan Altantuya yang kembali hangat pada ketika ini, Muhammad Shafee berkata, terlalu banyak spekulasi dalam kejadian tersebut.

Malah, beliau turut mempertikaikan kenapa kejadian tersebut dibangkitkan selepas kejatuhan Barisan Nasional.

Video penuh podcast tersebut akan disiarkan pada pukul 11 pagi Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram