POLIS membuka kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni.
"Polis akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pasca pilihan raya nanti,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 280 anggota dan pegawai polis memantau situasi ketenteraman awam selepas pilihan raya sehinggalah situasi berada dalam keadaan aman dan harmoni.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin didakwa mengeluarkan 'fatwa'" harus untuk ahli Umno meninggalkan parti itu dan mereka boleh mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW ketika berkempen di Chukai, Terengganu.
Polis juga mengingatkan penyokong parti supaya tidak mengadakan perhimpunan ataupun perarakan pasca pilihan raya yang menimbulkan gangguan ketenteraman awam.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral Bersara, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili PAS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram