SEORANG lelaki yang mencederakan ibunya hanya kerana tidak diberikan RM10 untuk membeli dadah dikenakan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak pada pada Khamis.
Majistret T Ashvinii menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh sawit itu didakwa dengan sengaja menyebabkan ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, cedera dalam kejadian di 2873, bangunan Pejabat DAP, Lorong Taman Langkap Jaya, pada pukul 3 petang, Isnin lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menumbuk lengan kiri mangsa hingga mengakibatkan kecederaan pada tisu lembut.
Chon Tak didakwa menumbuk lengan kiri mangsa hingga mengakibatkan kecederaan pada tisu lembut. — Bernama
Mangsa bertindak membuat laporan polis kerana kejadian itu sering kali berlaku serta takut perkara yang tidak baik terjadi terhadapnya.
Pada hari sama, polis menahan suspek di tepi jalan Desa Maju Langkap, pada pukul 9.30 malam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), F Faustina.
Faustina dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum memandangkan tertuduh adalah lelaki bujang yang menanggung ibu bapanya.
Izzudin Fakri pula memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara setimpal tempohnya dengan mengambil kira tertuduh mengasari ibu kandungnya sendiri di khalayak ramai berpunca meminta wang untuk membeli dadah serta hukuman bertujuan sebagai pengajaran untuk orang ramai.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihukum penjara setahun daripada tarikh tangkapan, Isnin lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram