[VIDEO] Hajat curi tabung penapis ekzos gagal, pencuri lari lintang-pukang ditembak guna paintball


  • Benua
  • Rabu, 29 Nov 2023

Tangkap layar dua orang pencuri hendak mencuri catalytic converters sebuah kenderaan di Turlock, Amerika Syarikat. — Agensi

HAJAT dua lelaki mahu mencuri tabung penapis ekzos (Catalytic Converters) sebuah kenderaan tidak kesampaian apabila tindakan mereka itu disedari pemiliknya dalam satu kejadian di Turlock, Amerika Syarikat (AS).

Menerusi video tular yang dimuat naik di laman X (Twitter) @crazyclipsonly pada Isnin, kedua-dua suspek dilihat berada di bawah kenderaan tersebut untuk menanggalkan tabung penapis ekzos berkenaan.

Namun, kedua-duanya menerima padah apabila mereka ditembak menggunakan senapang paintball.

Mereka kemudiannya dilihat melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah lagi kenderaan yang dipandu oleh rakan mereka.

Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di luar halaman rumah pemilik kenderaan tersebut.

Memetik laporan media antarabangsa, powernationtv.com, kejadian itu berlaku pada Oktober tahun lalu.

Walaupun kejadian curi itu dirakam oleh CCTV namun identiti kedua-dua suspek tidak dapat dikenalpasti sehingga kini.

Sebagai rekod, tabung penapis ekzos sering menjadi sasaran pencuri di seluruh dunia kerana peralatan itu mengandungi bahan logam bernilai tinggi.

Antara bahan bernilai tinggi di tabung penapis ekzos adalah rhodium, paladium dan platinum.

Selain itu, logam berharga berkenaan boleh diekstrak dengan mudah dan tidak rosak walaupun selepas digunakan pada kenderaan yang dipandu lama.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa rhodium, paladium dan platinum yang masing-masing boleh mencecah harga antara RM130 hingga RM300 per gram.

"Bahan-bahan itu diekstrakkan untuk keperluan industri elektronik, pergigian dan perubatan.

"Rhodium adalah logam yang tinggi nilainya dan berat yang sama boleh membuatkan harganya berkali ganda mahal berbanding emas.

“Anggaran komponen ini boleh mencecah antara RM500 hingga RM2,500 bagi setiap satu unit di pasaran luar negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram