BEBERAPA orang pemancing dikejutkan dengan penemuan mayat warga emas lelaki dalam bendang di Kampung Pauh Sebanjar dekat, Tumpat, Kelantan pada Selasa.
Melalui Video tular yang dimuat naik di aplikasi WhatsApp itu, mangsa berbaju merah ditemui bersama motosikalnya di tepi bendang.
"Jumpa mayat warga emas tepi bendang, berkemungkinan lemas. Baru sahaja terjadi petang tadi (Selasa).
"Marilah sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa. Punca belum tahu lagi," tulis individu yang berkongsi video tersebut.
Dalam video berdurasi enam saat itu kelihatan orang awam mengerumuni tempat kejadian.
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, mangsa dikenali sebagai Husin Omar, 60 tahun.
Menurut abang mangsa, Harun Omar, 62, berkata, adiknya itu keluar dari rumah pukul 12.30 tengah hari untuk membeli petrol di stesen minyak berhampiran untuk stok bekalan pada musim banjir.
"Menjelang Zuhur, dia masih belum kelihatan di rumah kerana selalunya sebaik azan berkumandang, dia akan bersiap sedia untuk menunaikan solat.
"Saya meminta anak mencarinya di kawasan sekitar kerana bimbang berlaku apa-apa kepadanya kerana kerap motosikalnya terbalik kerana diserang sawan... tak sangka kali ini ajalnya tiba," katanya.
Omar berkata, dia mengetahui perkara itu apabila dihebahkan dalam kumpulan WhatsApp mengenai adiknya yang terbalik motosikal dan sudah meninggal dunia sebelum dia bergegas ke lokasi kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Bendang Pak Yong.
Katanya mereka sekeluarga sentiasa melarang mangsa keluar menunggang motosikal atau ke mana-mana dalam jarak jauh kerana bimbangkan keselamatannya.
"Apa yang kami takuti berlaku juga dan kami terima takdir ini dengan reda," katanya.
Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram