Kes runtuhan Batu Maung: Majikan kena tindakan perundangan, 5 pekerja tiada caruman PERKESO


  • 112
  • Khamis, 30 Nov 2023

Setakat ini, seramai tiga pekerja disahkan maut manakala dua lagi parah dalam kejadian runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang, Selasa lalu. — Bernama

LIMA daripada sembilan pekerja asing terlibat dalam runtuhan tapak pembinaan di Batu Maung, dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang didapati tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, menegaskan bahawa majikan bertanggungjawab menggaji kumpulan pekerja asing terbabit bakal dikenakan tindakan perundangan.

Ini kerana, kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas melanggar Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya pada Khamis.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Untuk rekod, semua pekerja asing termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO, berkuat kuasa sepenuhnya 1 Januari 2020.

Hasil semakan kementerian terhadap empat pekerja asing yang menjadi mangsa dalam insiden tersebut mendapat mereka mempunyai rekod pendaftaran bersama PERKESO.

Ia masing-masing terdiri daripada dua mangsa yang maut dan dua mengalami cedera parah.

Bagaimanapun, tiada caruman dicatatkan sejak keempat-empat mereka diambil bekerja antara 2020 hingga Julai 2023.

Pada masa sama, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan PERKESO.

Sehingga kini, kementerian menerusi PERKESO masih giat menjalankan semakan dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia dan agensi berkaitan mengenai empat lagi pekerja asing yang dilaporkan tertimbus di bawah serpihan runtuhan di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Sivakumar berkata, berdasarkan perangkaan setakat 31 Oktober lalu, lebih 1.88 juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke PERKESO.

“Bagaimanapun, jumlah liputan caruman bagi pekerja asing berbanding kemasukan tenaga buruh luar ke Malaysia menunjukkan masih ada segelintir majikan yang ingkar dalam mematuhi peruntukan Akta 4,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram