PERKESO derma 3 mesin hemodialisis, tampung keperluan pesakit buah pinggang di Ipoh


  • Primer
  • Rabu, 08 Nov 2023

Sivakumar (paling kanan) menyerahkan mesin kepada wakil salah satu pusat dialisis di Ipoh, Perak sekitar majlis sambutan Deepavali. — Perkeso

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mendermakan tiga mesin hemodialisis bagi menampung peningkatan keperluan rawatan dalam kalangan pesakit buah pinggang kronik sekitar Ipoh pada Selasa.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pihaknya cakna bahawa kapasiti mesin hemodialisis yang ditempatkan di pusat dialisis panel PERKESO ketika ini tidak dapat menampung keseluruhan keperluan rawatan.

Sehubungan itu katanya, program pendermaan mesin hemodialisis direncana untuk meningkatkan kapasiti penyediaan rawatan di pusat-pusat dialisis panel PERKESO.

399168052_725770806243439_8133891045787518642_n

V. Sivakumar ketika menyampaikan ucapan sekitar majlis Sambutan Deepavali PERKESO 2023, di Ipoh, Perak pada Selasa. — Facbook/PERKESO

“Saya ingin menarik perhatian semua terhadap pendedahan media baru-baru ini, berhubung peningkatan jumlah pesakit buah pinggang di Malaysia dalam tempoh sedekad atau 10 tahun ini, yang direkodkan kedua tertinggi di dunia.

“Lebih menggusarkan, jumlah pesakit buah pinggang kronik sehingga memerlukan rawatan dialisis di Malaysia pula adalah paling ramai di Asia Tenggara.

“Sehubungan itu, antara matlamat kementerian melalui PERKESO adalah untuk membantu golongan pekerja yang mengalami masalah kesihatan kronik seperti penyakit buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Sambutan Deepavali PERKESO 2023, di Ipoh, Perak pada Isnin yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Datuk Amran Ahmad, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah PERKESO Perak, V Mohanadas.

Tiga mesin hemodialisis yang didermakan, dua unit untuk Pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF)-Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak, manakala satu unit lagi kepada Persatuan Meningkat Akhlak Woh Peng Cheang Seah.

399590964_725770746243445_1994680868958748229_n

Penyerahan duit raya kepada anak-anak yatim piatu dan ibu tunggal ketika majlis tersebut. — Facbook/PERKESO

Majlis itu juga turut diserikan dengan acara penyerahan duit raya kepada anak yatim piatu dan ibu tunggal, selain penyaluran bantuan untuk sembilan badan kebajikan di sekitar Ipoh.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, PERKESO setakat Oktober lalu membelanjakan hampir RM46.84 juta untuk menyediakan 1,171 unit mesin hemodialisis sejak rawatan dialisis mula diperkenalkan agensi peneraju keselamatan sosial berkenaan pada 1998.

Di samping bantuan rawatan dialisis kepada yang memerlukan, katanya, PERKESO menggerakkan pelbagai program advokasi dan intervensi awal dalam kalangan pekerja untuk menjalani gaya hidup sihat.

399244106_725770656243454_2887943255981297422_n

Pihak yang terlibat sekitar majlis tersebut. — Facbook/PERKESO

“Di kesempatan ini, saya ingin mengajak semua untuk hargai kesihatan masing-masing kerana ia sebenarnya adalah harta paling berharga kerana berdasarkan perangkaan semasa PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia, 41 juta kematian dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia angkara penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Bagi Asia Tenggara, 76 peratus kematian direkodkan di rantau ini berpunca daripada NCD, justeru marilah kita amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.

“Musim perayaan seperti Deepavali sudah pasti pelbagai juadah disediakan, tetapi beringat untuk bersikap sederhana dalam pemakanan,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram