Lebih 8,000 sertai PERKESO Run & Ride 2023, petunjuk positif tangani risiko NCD


  • Massa
  • Ahad, 19 Nov 2023

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian dalam acara PERKESO Run & Ride 2023, di Dataran Wawasan, Putrajaya pada Ahad.

ANALISIS Program Saringan Kesihatan (HSP) 3.0 yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun ini mendapati 60.3 peratus daripada 70,000 orang pencarum yang menjalani saringan kesihatan sehingga Oktober lalu mengalami masalah obesiti atau kegemukan.

Melalui analisis data sama juga mendapati 18.9 peratus menghidap kencing manis manakala 27.3 peratus mempunyai darah tinggi dan 61.2 peratus berdepan masalah kolesterol tinggi.

Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perbandingan terhadap statistik PERKESO bagi 2021 dan 2022 pula mendedahkan terdapat peningkatan jumlah pencarum yang mengalami hilang upaya atau meninggal dunia disebabkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) sebanyak 37 peratus.

Run&Ride2023_Highlights-1002

PERKESO Run & Ride 2023 memasuki edisi ketujuh sejak diadakan pada 2015.

“Mengikut pengiraan secara purata, 46 kes NCD dilaporkan kepada PERKESO setiap hari pada 2021, tetapi ia melonjak kepada 63 kes NCD sehari pada 2022.

“Justeru, ini adalah ‘wake-up call’ yang tidak wajar dipandang remeh kerana jika nasi sudah menjadi bubur, pelbagai perkara lain akan turut terkesan, termasuk status pekerjaan yang akhirnya menjejaskan aspek pendapatan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena PERKESO Run & Ride 2023, di Dataran Wawasan, Putrajaya pada Ahad.

Turut hadir Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KSM), Datuk Amran Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KSM, Datuk Norison Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Program kecergasan berskala besar anjuran PERKESO itu meraih jumlah penyertaan lebih 8,000 orang pada edisi ketujuh kali ini sejak diadakan pada 2015.

Run&Ride2023_Highlights-1004

Penyertaan peserta PERKESO Run & Ride 2023 meningkat hampir tiga kali ganda.

Sementara itu, Subahan, penyertaan program tersebut pada edisi kali ini meningkat kepada hampir tiga kali ganda sekali gus menjadi petunjuk positif ke arah tekad masyarakat beralih ke gaya hidup sihat, selari matlamat kerajaan menangani risiko NCD.

"Situasi Malaysia yang kini menuju status negara menua menjelang 2050 memerlukan intervensi awal, termasuk ‘pelaburan kesihatan’.

"Percaturan sedemikian wajar diberi penekanan segera memandangkan perangkaan semasa mengenai tempias negatif daripada NCD, sejak dua dekad terakhir ini amat menggusarkan," katanya.

Mengulas lanjut, Subahan berkata ‘pelaburan kesihatan’ yang sebenarnya tidak memerlukan modal besar mampu memberi laba keuntungan merangkumi pelbagai aspek seperti produktiviti pekerja dan perbelanjaan perubatan, selain mengoptimumkan pengurusan fiskal negara.

“Aspek fiskal negara bakal berdepan cabaran getir kerana kajian bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kos penjagaan kesihatan untuk pesakit NCD dan kehilangan produktiviti diunjur kira-kira RM22.5 bilion setahun,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram