[VIDEO] Selamba 'cucuk' motosikal, pemandu kereta mewah plat Singapura pecut guna laluan kecemasan di Ayer Hitam


  • Tular
  • Khamis, 23 Nov 2023

Tangkap layar sebuah kenderaan bernombor plat Singapura dirakam memandu laju di lorong kecemasan dekat Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Plaza Tol Ayer Hitam pada Rabu.

SEBUAH kenderaan mewah jenis BMW bernombor plat pendaftaran Singapura dirakam memandu laju di lorong kecemasan Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Plaza Tol Ayer Hitam, Johor pada Rabu.

Dipercayai memandu melebihi had kelajuan ditetapkan, pemandu terbabit juga didakwa sengaja mengekori rapat penunggang motosikal yang berada di lorong tersebut yang sekali gus mengundang kerisauan kepada si perakam.

Situasi berbahaya itu berterusan apabila pemandu berkenaan kemudiannya memotong di lorong tengah sebelum sekali lagi menggunakan laluan kecemasan dan terus memecut laju ketika kejadian.

Rakaman berdurasi 51 saat itu tular di laman media dan meraih lebih 300 perkongsian setakat ini.

Rata-rata warganet menggesa agar pelaku segera ditahan pihak berkuasa kerana melanggar undang-undang jalan raya di negara ini.

"Pakai kereta mewah masuk Malaysia buat perangai, di Singapura tak boleh pandu laju tapi di sini dia lepas geram," kata Umar Zamri.

"Dia cucuk motosikal itu macam tak ada rasa serba salah, kalau nak memotong guna lorong kanan, masuk Malaysia tak tahu undang-undang lain kali jangan datang," ujar Siti Fariha.

"Dah la isi minyak kuning di negara kita, pandu laju siap potong guna lorong kecemasan lagi, memang tak ada adab pemandu Singapura ini, polis kena tangkap nombor plat semua ada," tambah Hani Maisarah.

Untuk rekod, kesalahan memandu di lorong kecemasan boleh didakwa mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara hingga empat bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Namun, belum ada sebarang kenyataan polis berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram