[VIDEO] Syarikat lapangan terbang pelik, siasat punca mesin bagasi gagal kesan budak tercampak atas 'conveyor belt'


  • Benua
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Tangkap layar seorang budak lelaki terlepas ke mesin tali sawat di sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa Santiago, Chile.

KAKITANGAN petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Santiago, Chile berdepan detik cemas apabila seorang budak lelaki terperangkap di mesin tali sawat selepas dia dirakam memanjat masuk ke dalamnya pada Rabu.

Dalam satu video tular di Twitter, memaparkan kejadian itu berlaku apabila kanak-kanak berkenaan berjaya melepasi pengadang di laluan bagasi itu dan terus duduk ketika mesin tersebut sedang beroperasi.

Situasi itu yang pada mulanya tidak disedari sesiapa, melihatkan kanak-kanak terbabit dibawa sehingga ke laluan menuju bahagian simpanan pesawat.

Namun, situasi itu kemudiannya disedari dua petugas di bahagian pungutan beg yang terus mengangkat dan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Susulan kejadian itu, pihak lapangan terbang Chile menerusi kenyataannya berkata, kemudahan di lapangan terbang Santiago telah mematuhi segala piawaian keselamatan antarabangsa dari segi reka bentuk dan infrastrukturnya termasuk kamera dan mesin pengesan.

Tambahnya, kakitangan syarikat penerbangan juga sentiasa bertanggungjawab serta komited untuk mengekalkan operasi berjalan dengan selamat.

"Kami sedang mengumpul maklumat untuk mengetahui punca kejadian itu berlaku dan akan memperkukuh langkah keselamatan serta protokol dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mengelakkan kejadian itu berulang," katanya.

Untuk rekod, seorang budak lelaki berusia dua tahun dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan selepas termasuk ke dalam laluan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta pada 2019. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram