Warga emas parah ditetak 3 penyamun menyamar kontraktor pagar di Teluk Intan


  • 112
  • Khamis, 23 Nov 2023

Seorang lelaki warga emas parah ditetak tiga penyamun dalam satu insiden yang berlaku di Taman Indah Jaya, Teluk Intan pada Rabu. — Gambar hiasan

SATU kejadian samun dilaporkan berlaku membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang cedera ditetak tiga suspek di Taman Indah Jaya, Teluk Intan, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah menuju ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat sekitar pukul 5.20 petang.

"Ketika tinggal sendirian di rumah, mangsa telah didatangi seorang lelaki yang menawarkan kerja pengubahsuaian di hadapan pagar rumah.

"Mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut membenarkan suspek masuk rumah sebelum dia ditolak lelaki itu hingga terjatuh.

"Mangsa cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh suspek dengan menetak tangan mangsa menggunakan sebilah parang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, suspek bertindak mengikat tangan mangsa menggunakan tuala kecil sebelum dua rakannya masuk ke dalam rumah.

"Mereka menggeledah rumah dan melarikan barang kemas, jam tangan pelbagai jenama, wang tunai RM3,000, sebuah telefon bimbit serta kereta jenis Perodua Axia warna Perak milik mangsa.

"Mangsa yang meminta pertolongan orang awam telah dibawa ke Hospital Teluk Intan dan menerima lima jahitan akibat luka terbuka di bahagian jari telunjuk kanan," katanya.

Ahmad Adnan berkata, siasatan Unit Forensik berjaya menimbulkan 11 cap jari dipercayai milik suspek.

"Pengecaman wajah melalui fotofit telah dijalankan dengan hasil pengecaman sebanyak 70 peratus.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Fa'eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram