
POLIS berjaya mengesan seorang pemandu kereta susulan video tular menerusi Twitter (X) berkaitan seorang kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui sunroof kenderaan itu, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya sebelum itu mengesan rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat yang dimuat naik oleh satu pemilik akaun.
Beliau berkata, video berkenaan memaparkan pemandu kereta jenis Mazda itu bersikap cuai terhadap keselamatan kanak-kanak dengan membenarkannya mengeluarkan kepala melalui sunroof ketika kenderaan berkenaan sedang bergerak.
"Siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.30 malam pada 17 November (Jumaat) di kawasan sekitar Seri Alam.
"Kita telah mengesan pemilik kenderaan terbabit untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, Mohd Sohaimi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan diri sendiri dan orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram