[VIDEO] MP PAS cadang asingkan restoran khas buat perokok


  • Primer
  • Isnin, 20 Nov 2023

Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menggesa kerajaan untuk mengasingkan restoran untuk perokok dan bukan perokok.

MUMTAZ Md Nawi, (PN-Tumpat) menggesa kerajaan untuk mengambil langkah mengasingkan restoran bagi perokok dan bukan perokok ketika di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahli Parlimen PAS itu berkata, walaupun dengan pelbagai kempen anti merokok dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, penguatkuasaan terhadap mereka yang merokok di kawasan yang dilarang, terutama kedai makan dilihat masih lemah.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan ramai orang di kedai makan, terutama ibu bapa yang membawa anak mereka terpaksa berdepan dengan pelanggan tidak bertangungjawab yang merokok di sana.

"Saya cadangkan kerajaan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya kita dapat klasifikasikan restoran untuk orang yang merokok dan restoran untuk orang yang tidak merokok.

"Sebab sekarang ini bila tidak dibuat secara berasingan, kita dapati sukar bagi ibu bapa yang bawa anak-anak untuk memastikan restoran yang mereka masuk tiada yang merokok.

"Kalau pun kita boleh melarang (pelanggan yang merokok), ia bukan di bawah kapasiti individu (awam) untuk melarang mana-mana orang untuk merokok (dan mungkin) akan berlaku pergaduhan pula," katanya di Dewan Rakyat.

Mumtaz berkata, demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024 untuk Kementerian Kesihatan.

Justeru, katanya, sudah tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan cadangan itu demi kesihatan orang awam, terutama kanak-kanak dan wanita yang mengandung, daripada asap rokok.

Sementara itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa Kementerian Kesihatan untuk mengetatkan penguatkuasaan terhadap orang yang merokok di kawasan awam.

Dia memuji bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang menurutnya berjaya menimbulkan ketakutan kepada perokok untuk merokok di kedai makan sebelum ini.

"Saya nak ucap tahniah kepada Kuala Selangor (Dzulkefly) kerana ketika jadi menteri dulu, masa itulah penguatkuasaan yang sangat ketat sehingga kita tengok orang takut nak merokok di kedai makan dan restoran.

"Saya fikir ia perlu diulangi pada Isnin supaya orang nampak tindakan tegas terhadap orang yang merokok di khalayak awam, tambahan lagi di kedai makan yang ada anak-anak kecil," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram