SEORANG remaja perempuan dilaporkan diculik oleh dua lelaki di sebuah stesen minyak di bandar Madhya Pradesh, Gwalior, India pada Isnin.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), remaja perempuan berusia 19 tahun itu dilarikan oleh dua lelaki bertopeng yang menaiki motosikal.
Dalam video itu, seorang suspek dilihat mengangkat dan meletakkan mangsa secara paksa di atas motosikal sebelum dilarikan oleh seorang lagi suspek.
Ketika kejadian, beberapa orang awam dilihat turut berada di lokasi itu, namun tidak berbuat apa-apa dan hanya melihat kejadian itu berlaku.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, wanita tersebut dalam perjalanan membawa seorang kanak-kanak ke tandas berhampiran stesen minyak ketika itu.
"Kanak-kanak itu berlari sambil mengatakan seseorang telah melarikan kakaknya. Saya melihat seorang lelaki berlari mengejar motosikal bersama seorang perempuan yang dipaksa duduk sambil menangis.
"Bukan itu sahaja, orang awam yang berada di lokasi kejadian juga dengar tangisannya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis India, Superintendan Rishikesh Meena berkata, pihaknya sudah menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian.
"Dua pasukan polis diarah untuk menyiasat kes itu. Fokus kami adalah untuk mengesan dan menyelamatkan gadis tersebut.
"Rakaman CCTV yang diperoleh daripada stesen minyak jelas menunjukkan ia suatu penculikan. Kami sedang berusaha gigih untuk mengenal pasti dan menangkap pelakunya," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram