Guru madrasah tak mengaku salah cederakan fizikal, emosi murid di Sik


Amirul Hakim (kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Baling, Kedah pada Isnin atas pertuduhan mencederakan seorang muridnya berusia lapan tahun baru-baru ini. — Bernama

SEORANG guru lelaki sebuah madrasah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Baling, Kedah atas pertuduhan mencederakan seorang muridnya berumur lapan tahun baru-baru ini.

Amirul Hakim Johari, 27, dituduh menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak lelaki itu di Madrasah Baituttaqwa Warahmah di Kampung Durian Burung, Sik, Kedah pada 11 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada seorang anak berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu kemudiannya dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Screenshot (3)

Mangsa yang cedera akibat dirotan dengan PVC oleh gurunya di madrasah berkenaan baru-baru ini. — Facebook

Hakim Najwa Che Mat kemudiannya menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Al-Sabri Ahmad Kabri.

Pada Ahad, seorang murid lelaki warganegara Indonesia berusia lapan tahun cedera pada tapak tangan dan kaki didakwa akibat dirotan oleh tenaga pengajar dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) di madrasah berkenaan dua minggu lalu.

Berdasarkan hantaran yang dikongsikan ibu saudara mangsa di media sosial, mangsa didapati cedera dan lebam teruk di punggung dan pinggang.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Supritendan Abdull Razak Osman, berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun, yang merupakan seorang tenaga pengajar di madrasah terbabit pada 12 November lalu (Ahad). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram