Ancaman bom gemparkan sekolah antarabangsa di beberapa negeri


  • 112
  • Selasa, 21 Nov 2023

Polis melakukan pemeriksaan terhadap satu daripada dua sekolah di daerah Timur Laut Pulau Pinang yang menerima ugutan ancaman bom. — PDRM

SEJUMLAH sekolah antarabangsa di beberapa negeri dilaporkan menerima ancaman bom pada Selasa.

Difahamkan, salah sebuah sekolah di Kajang, Selangor turut dikosongkan selepas menerima e-mel mengenai ancaman itu pada pukul 9.30 pagi hingga 10 pagi Selasa.

Pada masa sama, ibu bapa pelajar dimaklumkan untuk segera datang menjemput anak mereka di sekolah yang terlibat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Sebanyak tujuh sekolah menerima ancaman bom di Petaling Jaya, Shah Alam, Kajang, Kuala Langat dan Subang Jaya.

"Siasatan masih dijalankan dan dipercayai ia adalah satu ancaman palsu. Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu,” katanya kepada The Star.

51690973510_TBDATUKHUSSEINOMARKH

Hussein Omar berkata, sebanyak tujuh sekolah menerima ancaman bom di Petaling Jaya, Shah Alam, Kajang, Kuala Langat dan Subang Jaya. — Bernama

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dua sekolah antarabangsa di Wangsa Maju, Kuala Lumpur turut menerima ugutan sama.

“Kami baru menerima laporan mengenai kejadian itu dan anggota kami sedang menyiasat,” katanya.

Pada masa sama, di Pulau Pinang, polis mengesahkan dua sekolah antarabangsa di daerah Timur Laut menerima ancaman bom melalui e-mel pada hari yang sama.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Suptrintendan V.Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan polis masing-masing dari sekolah antarabangsa di Jalan Sungai Pinang dan Tanjung Tokong itu pada pukul 11.20 pagi dan 12.26 tengah hari.

"Kedua-dua sekolah menerima kandungan dan penghantar e-mel yang sama hari ini bertajuk 'bahan letupan telah ditanam di sekolah' serta kandungan e-mel menceritakan penghantarnya mengalami masalah hidup, dibenci oleh orang sekeliling, ayah merogolnya sejak kecil dan dihina di sekolah.

"Pasukan Unit Pencegahan Bom Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Unit Anjing Pengesan (Unit K9) polis membuat pemeriksaan di dua sekolah dan mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan. Pasukan bomba juga berada di kedua-dua lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyatan media.

Sementara itu, sekurang-kurangnya tiga lagi sekolah antarabangsa di Johor turut menerima ancaman bom.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi The Star berkata, tiga sekolah di Johor telah menerima e-mel yang mendakwa terdapat bom dipasang di situ.

“Kami segera menghantar unit pemusnah bom dan unit K-9 ke lokasi kejadian untuk menyiasat perkara itu,” katanya.

Screenshot 2023-11-21 190621

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 10.10 pagi daripada pihak sekolah mengenai menerima e-mel tersebut. — Bernama

Dalam perkembangan lain, sebuah sekolah antarabangsa di Meru Raya, Perak turut meneriman ancaman bom dari sebuah e-mel.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 10.10 pagi daripada pihak sekolah mengenai menerima e-mel tersebut.

“Kami memanggil unit pemusnah bom polis untuk melakukan sisatan menyeluruh di perkarangan sekolah.

“Kami tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan dan mengisytiharkan sekolah itu selamat.

"Semua tenaga pengajar dan pelajar dibenarkan masuk semula ke premis itu kira-kira pukul 1.15 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kami memberi amaran sekeras-kerasnya kepada orang ramai supaya tidak menghantar e-mel penipuan bom secara sesuka hati yang boleh menimbulkan ketakutan kepada rakyat dan mengancam keselamatan awam,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram