[VIDEO] Pelakon Gerak Khas terlibat kemalangan 3 kenderaan di Perak


  • Tular
  • Ahad, 19 Nov 2023

Shaharon (kiri) terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu Gajah, Perak pada Sabtu.

BEKAS pelakon drama bersiri Gerak Khas yang melakonkan watak 'Asisten Superintendan Saiful', Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu Gajah, Perak pada Sabtu.

Kejadian itu berlaku di Batu 6 Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah pada pukul 3 petang melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Kancil, Perodua Kelisa dan Proton Perdana yang dipandunya.

Insiden itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) salah sebuah rumah di kawasan terbabit.

Beliau yang memandu pada waktu kejadian turut ditemani isterinya, Datin Roseda Mustafa.

Difahamkan, kedua-dua mereka tidak mengalami kecederaan serius.

Memetik laporan media tempatan, Shaharon memberitahu bahawa kereta Kelisa itu memberi isyarat untuk membelok kanan namun Kancil dipandu laju dari arah belakang sebelum menyondol Kelisa.

"Kenderaan Perodua Kelisa itu tersasar masuk ke laluan Perdana (kereta saya) lalu berlaku perlanggaran.

“Sebaik kemalangan, saya dan isteri selamatkan bayi dan yang lain dalam Kelisa yang kemudiannya dibantu oleh orang ramai.

“Walaupun dalam kemalangan, kita utamakan dan usaha untuk selamatkan orang lain terutamanya kanak-kanak dan bayi,” katanya.

Shaharon menambah, keempat-empat ahli keluarga yang menaiki Perodua Kelisa mengalami kecederaan susulan rempuhan kenderaan dari belakang.

“Kereta merah (Kelisa) itu empat orang, suami patah kaki, isteri patah tulang pinggul tusuk ke rahim.

“Anak lapan tahun retak kaki, luka dahi dan bayi calar luka,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram