SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Mungkin itu peribahasa yang sesuai diungkapkan terhadap seorang lelaki yang ditangkap orang awam selepas didakwa meragut.
Insiden pada Ahad tersebut turut dirakam orang ramai dan dimuat naik di laman Facebook Zaidi Jai pada hari yang sama.
Melalui maklumat yang dikongsikan, kejadian tersebut berlaku di sebuah kawasan berhampiran Bandar Damai Perdana, Kuala Lumpur.
"Kejadian meragut rantai leher, belakang 7E, berhampiran lorong kedai mamak.
"Ada orang kenal dan akhirnya 'kantoi' (tertangkap).
"Difahamkan, dalam beg suspek ada nombor plat lain dan motosikal model baru," tulisnya.
Dalam video berdurasi lebih seminit tersebut, kelihatan orang ramai mengerumuni suspek yang ditangkap.
Turut kedengaran suara suspek yang terbaring di atas jalan raya itu yang meminta orang ramai tidak mengambil tindakan terhadapnya.
"Ini kali pertama, saya buat ini (meragut) sebab anak sakit," katanya.
Namun, permintaannya itu tidak diendahkan orang awam yang berada di tempat kejadian.
"Alasan guna anak sakit ini dah lama orang guna. Kau jangan nak menipu.
"Ini bukan kali pertama, ada orang nampak kau meragut di kawasan ini sebelum ini," kata salah seorang awam yang berada di situ.
Difahamkan, sejurus selepas ditangkap, suspek diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakkan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram