[VIDEO] Geng basikal hampir digilis lepas terjatuh bergesel sesama sendiri


  • Tular
  • Isnin, 20 Nov 2023

Tangkap layar seorang penunggang basikal hampir digilis sebuah kenderaan ketika melakukan aktiviti berbasikal di sebuah jalan raya baru-baru ini.

SEORANG penunggang basikal hampir menempah maut apabila dia terjatuh selepas bergesel dengan rakannya di sebuah jalan raya pada baru-baru ini.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di laman media sosial X (Twitter) pada Isnin, kejadian itu berlaku pada Ahad.

"Takut tengok hobi orang berbasikal ini. Nasib umur masih panjang. Hampir kena gilis kereta selepas bergesel sesama sendiri," ciapnya @anthraxxx781.

Daripada rakaman papan pemuka kenderaan (Dashcam) tersebut, kelihatan sekumpulan lelaki berkenaan berada di lorong kiri jalan dan keadaan jalan pada waktu itu juga agak sesak.

Tindakan mereka yang didakwa mementingkan diri sendiri yang berbasikal secara berbahaya dengan memotong sesama sendiri membawa padah apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke tengah jalan.

Namun, nasib baik menyebelahi dirinya kerana ketika kejadian, kereta yang berada di belakang lelaki berkenaan sempat mengelak dan tiada kemalangan membabitkan kenderaan lain yang berlaku.

BACA LAGI : [VIDEO] Geng basikal undang kecaman, siap suruh pemandu potong 'double line' di Kuala Langat

Pada masa sama, video tersebut turut menarik perhatian warga maya kerana ia bukanlah kali pertama insiden seumpama itu berlaku.

Rata-rata warga maya mengharapkan agar aktiviti berbasikal tersebut diharamkan di atas jalan raya yang tertentu terutamanya pada waktu kemuncak.

"Elok kerajaan haramkan aktiviti berbasikal seperti ini, banyak sangat kes yang melibatkan kemalangan," kata @Qurdiy8.

Terdahulu, Majoriti melaporkan tindakan sekumpulan lelaki berbasikal yang 'mengganggu' aliran trafik di Kuala Langat, Selangor baru-baru ini mencetuskan kemarahan warganet.

Dalam satu video tular di laman media sejak Rabu, memaparkan perbuatan individu terbabit yang didakwa mementingkan diri sehingga menyebabkan trafik bertukar perlahan akibat aktiviti berbasikal yang dijalankan.

Situasi lebih meruncing apabila salah seorang daripadanya meminta kereta di belakang untuk memotong di laluan garisan berkembar yang jelas merupakan kesalahan jalan raya.

Untuk rekod, menunggang basikal secara bahaya dan melulu di atas jalan raya merupakan satu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

Individu yang disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan dan boleh juga didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung isu tersebut setakat ini dan orang ramai dinasihati agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi keselamatan jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram