Suspek ancaman bom palsu mungkin kurang perhatian, mangsa didera — Polis


  • 112
  • Selasa, 21 Nov 2023

Razarudin Husain berkata, PDRM pandang serius sebarang bentuk ancaman bom, tindakan segera siasat tanpa gagal. — Bernama

SEBANYAK 19 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman bom palsu di beberapa sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah antarabangsa dan sekolah swasta di seluruh negara pada Selasa.

Daripada jumlah itu, tujuh laporan diterima di Selangor selain Kuala Lumpur (lima laporan), Johor (tiga laporan), Pulau Pinang (dua laporan), Negeri Sembilan dan Perak (satu laporan) setakat pukul 6 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ancaman tersebut dihantar melalui dua akaun e-mel menggunakan nama 'taktstorer' dari bahasa Jerman bermaksud 'pengganggu ketenteraman' dari penyedia perkhidmatan e-mel Beeble.com.

"Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penerimaan e-mel ancaman, PDRM dengan kerjasama sekolah yang terlibat telah segera mengambil tindakan bagi mengosongkan premis.

"Demi keselamatan, pengungsian (evacuation) pelajar ke lokasi selamat turut dijalankan dengan segera oleh pihak sekolah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke lokasi berkumpul (assembly points) seperti ditetapkan di sekolah masing-masing, sebelum pelajar dibenarkan beredar pulang.

“Tindakan pembersihan keselamatan (security flushing) bom dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terlibat. Namun, tiada sebarang ancaman yang dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Polis melakukan pemeriksaan terhadap satu daripada dua sekolah di daerah Timur Laut Pulau Pinang yang menerima ugutan ancaman bom. — PDRM

Polis melakukan pemeriksaan terhadap satu daripada dua sekolah di daerah Timur Laut Pulau Pinang yang menerima ugutan ancaman bom. — PDRM

Mengulas lanjut, kata beliau, dalam kes ini, siasatan mendapati e-mel ancaman adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa.

“Siasatan menunjukkan kedua-dua alamat e-mel yang digunakan bagi menghantar ancaman baru dicipta dan tidak pernah digunakan di mana-mana servis internet.

“Kandungan asal email ancaman adalah dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menggunakan aplikasi penterjemah,” jelasnya.

Tambah beliau, kandungan e-mel yang sama dikesan pernah dihantar ke 70 buah sekolah di Jamaica pada 12 November lalu melalui penyedia perkhidmatan e-mel yang sama.

Ujar beliau, siasatan turut menjurus sama ada insiden di Malaysia mempunyai kaitan dengan kejadian di Jamaica yang dipercayai didalangi seorang individu bermasalah.

“Suspek dipercayai mungkin pernah mengalami penderaan ketika zaman kanak-kanak dan kurang perhatian, namun, mempunyai kepakaran dalam bidang perisian komputer untuk melindungi identitinya,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

“Siasatan juga mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan lain-lain,” ujarnya.

Razarudin menegaskan, PDRM memandang serius sebarang bentuk ancaman bom dan akan mengambil tindakan segera bagi menyiasat sebarang ancaman tanpa gagal.

“PDRM yakin dan memberi kepastian bahawa tahap keselamatan pelajar serta guru-guru adalah terjamin di seluruh negara.

“Siasatan menyeluruh terus dijalankan berhubung perkara ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram