
TAWARAN permohonan sukarelawan sebagai Pengawas Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang ditawarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sememangnya disambut baik.
Ia merupakan antara inisiatif dan pendekatan efektif bagi membantu meringankan beban para guru di negara ini.
Pada 15 September, melalui pekeliling yang dikeluarkan KPM, tawaran tersebut dibuka kepada orang awam yang berminat untuk bertugas sebagai Pengawas Peperiksaan SPM dijadualkan bermula pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac 2024.
Namun, baru-baru ini, timbul pula isu tentang pembayaran elaun yang dikatakan tidak sesuai untuk diberikan dalam keadaan ekonomi sekarang.
Peperiksaan SPM 2023 dijadual bermula pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac 2024.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Rammel Firdaus R pada Ahad, jumlah elaun yang dibayar kepada Pengawas Peperikisaan hanya RM225 sepanjang tempoh peperiksaan SPM berlangsung.
"RM225 tersebut adalah bayaran yang diterima sebagai Pengawas Peperiksaan oleh penjawat awam dan juga sukarelawan untuk peperiksaan SPM 2023.
"Ia tidak termasuk 'S' atau Sesi sebanyak RM1. Dan TNT atau tuntutan perjalanan sebanyak RM0.85 perkilometer (maksimum perjalanan 500km).
"Bermakna, kalau bertugas selama 19 hari bayarannya adalah RM11.84 sehari. Kalau anda, nak tak jadi pengawas peperiksaan dengan elaun sebanyak itu?," tulisnya.
Bukan itu sahaja, seorang lagi warga maya turut mempersoalkan tentang jumlah yang seakan-akan sudah tidak relevan.
"Elaun pengawas SPM dah tak relevan dengan situasi semasa. Mereka ingat ini tahun 70-an lagi ke?," tulis Marza Izham.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, akan ada kadar elaun yang baharu untuk para Pengawas Peperiksaan SPM nanti.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada LPM dan sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dilaksanakan.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.
"Awal 2023 dahulu sudah diluluskan KPM, sekarang hanya menunggu MOF pula.
"Kadar baharu ini juga berbeza dengan yang lama sesuai dengan situasi sekarang dan akan diberikan kepada semua kategori," katanya kepada Majoriti.
Pada masa sama, Fouzi berkata, jika kadar yang diluluskan tidak mengikut keperluan semasa, NUTP akan membuat rundingan sekali lagi.
Dalam pada itu, isu tersebut juga dikatakan merupakan pengawasan yang mana para guru berasa tidak berbaloi dengan kadar dan masa yang diluangkan mereka.
"Guru rasa tidak berbaloi dengan masa dan bilangan perkataan serta masa bagi setiap calon. Mereka juga terpaksa berjaga malam kerana mengejar masa.
"Tambahan, sekarang ini guru gunakan komputer riba serta data internet sendiri untuk menanda.
"Tetapi, mereka masih tawarkan diri untuk menanda agar dapat ilmu dan pengalaman pemarkahan sebenar," tambahnya.
Sementara itu, Fouzi menjelaskan bahawa penanda peperiksaan tidak lagi menerima kertas jawapan murid, sebaliknya menerima dan menanda secara digital.
"Justeru, risiko keletihan menghadap komputer terlalu lama juga dialami oleh para guru," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram