[VIDEO] Tragedi ke tempat kerja, wanita maut dilanggar lari dekat Marang


  • Tular
  • Rabu, 15 Nov 2023

Tangkap layar kejadian seorang wanita dilanggar lari di Jalan Utama Batu 17, Jambatan Sungai Temala, Terengganu pada Rabu.

SEORANG wanita maut selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Utama Batu 17, Jambatan Sungai Temala, Wakaf Tapai, Marang di Terengganu pada pukul 6.30 pagi Rabu.

Pengguna Facebook, Nur Hidayah Hidayah menerusi satu posting di Facebook mendakwa, mangsa dilanggar lari semasa dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.

"Mangsa menuju ke tempat kerjanya telah mengalami kemalangan maut di Jambatan Sungai Temala, Wakaf Tapai. Mangsa telah dilanggar dari arah Ajil ke Wakaf Tapai," tulisnya.

Difahamkan, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave seorang diri ketika kejadian.

Pada masa sama, Nur Hidayah meminta bantuan saksi atau orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian bagi menghubunginya keluarga mangsa di talian 011-63379522.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut berkongsi hantaran itu bagi membantu mengesan suspek.

"Innalillahwainnailaihirojiun... Salam takziah, Kak Zah lalu pagi tadi pergi hantar anak kem Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Wakaf Tapai dalam pukul 8.00 pagi jenazah ada lagi ditutupi dengan kain situ," kata Noor Azizah Ali.

"Allahuakbar, salam takziah.. Semoga ada pihak tampil membantu, Amin," kata Nasuha Badrul Huzaini.

Tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat berita ini ditulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram