KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak akan kembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nampaknya telah mengecewakan segelintir masyarakat terutama ibu bapa.
Bahkan, perkara itu juga meraih perhatian ramai termasuk para guru dan bekas pelajar yang pernah menduduki peperiksaan tersebut.
Pada Sabtu, media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sekali lagi menegaskan bahawa UPSR tidak akan dilaksanakan walaupun menerima permintaan tinggi oleh ibu bapa.
Fadhlina Sidek berkata, KPM akan memberi tumpuan kepada kurikulum 2027 menerusi jelajah atau jerayawara untuk mendapatkan pandangan umum mengenai kurikulum persekolahan yang baharu buat masa ini.
Fadhlina Sidek menegaskan, UPSR tidak akan dikembalikan dan hanya fokus kepada pentaksiran holistik. — Bernama
"Kita minta ibu bapa beri tumpuan kepada jelajah dah jerayawara ini kerana kita mahu libat urus yang meluas untuk input-input memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
"Sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan mereka (karakter) boleh diperkukuh," katanya ketika ditemui media di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.
Sejurus kenyataan itu dikeluarkan, terdapat beberapa luahan dan pendapat yang ditulis di ruangan komen Facebook berkenaan keputusan itu.
Seorang guru dikenali dengan nama Mohd Zulhelmi Mansor dalam reaksinya terhadap keputusan itu, dia menganggap pemansuhan UPSR melahirkan pelajar yang malas membaca serta tiada daya pemikiran yang tinggi.
"Sebagai guru, pandangan saya memang wajar UPSR dikembalikan sebagai ukuran yang adil peringkat nasional dan belajar ada sasaran untuk dicapai dan peperiksaan lebih berintegriti dan ada hala tuju kepada pelajar yang celik ilmu.
"Nanti sampai Tingkatan 1 pun masih bermain-main sampai Tingkatan 5 baru ambil peperiksaan. Buatlah tinjauan berapa ramai yang suka ada peperiksaan dan sebaliknya.
Pemansuhan UPSR yang dikatakan bakal melahirkan pelajar yang lemah dalam berfikir aras tinggi. — Gambar hiasan
"Kesan paling ketara malas membaca dan sistem ini mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, malas berusaha, malas berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik.
"Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini. Kesan paling ketara, Matematik ramai yang buta berdasarkan keputusan SPM dan subjek Sejarah perlu membaca hampir 10 peratus daripada 400 ribu pelajar yang gagal perlu ambik dan mengulang semula," tulisnya.
Dalam pada itu, seorang bekas pelajar yang pernah menduduki UPSR turut menyuarakan pandangan yang sama.
"Kembalikanlah UPSR. Aku ex (bekas) pelajar yang ambil UPSR pada 1996. Tahun akhir empat subjek dan aku suka sangat. Puas rasa belajar.
"Selain asbab untuk dapat ilmu, tapi usaha itu bersungguh-sungguh untuk hadapi peperiksaan UPSR dan bagi mendapatkan keputusan cemerlang. UPSR dan PMR wajar ada balik supaya murid-murid ini belajar dengan bersungguh-sungguh. Peperiksaan itulah untuk mengukur tahap kecemerlangan dan ilmu yang pelajar-pelajar ini dapat.
"Kefahaman yang jitu, begitu, YBM Fadhlina wajar buat soal selidik pada semua ibu bapa dan guru sekolah Malaysia tentang UPSR dan PMR ini semula macam dahulu," komen Erni Safura.
Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 pula dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Namun, pada 2021, UPSR dan PT3 dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara menyeluruh dan digunakan untuk mengukur tahap pencapaian pelajar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram