SEORANG lelaki mengalami kecederaan di muka selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), dari Pajam ke Kajang pada Ahad.
Kejadian itu turut dirakam oleh seorang pengguna media sosial, Shecarl Mazlan dan dikongsikan semula Telegram Info Semasa pada hari yang sama.
"Kemalangan melibatkan penunggang motosikal merempuh belakang sebuah kereta rosak di tepi jalan di Lebuhraya LEKAS, dari Pajam ke Kajang, hari ini (Ahad).
"Menurut sumber, penunggang motosikal mungkin mengalami microsleep kerana kon keselamatan diletakkan sebelum terjadinya kemalangan tersebut," katanya melalui perkongsian tersebut.
Melalui video tular berdurasi 18 saat berkenaan, kelihatan mangsa yang berlumuran darah sedang terduduk menahan kesihatan di belakang sebuah kenderaan dipercayai jenis Perodua Axia.
Turut kelihatan beberapa orang awam berada di tempat kejadian cuba menenangkan dan memberikan bantuan awal kepada mangsa.
Setakat berita ini ditulis belum ada sebarang kenyataan daripada mangsa yang terlibat mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram