SETIAP pelajar di negara ini seharusnya mempunyai hak sama rata untuk menikmati kualiti pendidikan sempurna tanpa mengira agama dan bangsa.
Seperti pelajar yang lain, graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), M. Nahvin turut mengharapkan agar kerajaan memberikan peluang yang sama dalam pendidikan tanpa sistem kuota.
"Pendidikan seharusnya sentiasa tersedia kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
"Kita perlu memberikan keutamaan meritokrasi dalam sistem pendidikan kita dan bukannya sistem kuota yang diperkenalkan oleh parti-parti politik untuk memecah-belah dan memisahkan kita.
"Dengan meritokrasi, sesiapa yang layak akan diterima masuk tanpa mengira latar belakang mereka," katanya berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-19, baru-baru ini.
Dia yang juga penerima Anugerah Pelajaran Diraja berkata, meritokrasi adalah satu-satunya cara untuk melihat masa depan Malaysia yang bersatu dan adil.
"Untuk mewakili suara minoriti yang sering kali disorokkan, saya sangat berharap agar Kementerian Pendidikan Tinggi mendengar ucapan saya," katanya.
Ucapan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) yang mencapai PNGK 3.89 itu turut mencuri perhatian Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Thiban Subbramaniam.
Video ucapan Nahvin berdurasi dua minit lebih itu turut dikongsikan Thiban dalam laman media sosial X (Twitter) dan Facebooknya miliknya pada Ahad.
Meritokrasi adalah satu-satunya cara untuk melihat pelajar mendapat hak pendidikan yang sama rata tanpa mengira kaum dang bangsa. — Gambar Hiasan
"Sangat kuat dan jelas! Saya berbangga dengan Nahvin, penerima Anugerah Diraja di UTeM yang berani bersuara menentang kesaksamaan dan politik dalam sistem pendidikan Malaysia.
"Kerajaan berubah, dan kepimpinan juga berubah tetapi nasib kita untuk mendapat peluang pendidikan yang adil dan sama rata berdasarkan meritokrasi tetap tidak berubah. Kata-katanya menyentuh hati saya.
"Kita perlu menamatkan amalan perkauman ini dalam sistem pendidikan kita. Kita perlu menegakkan amalan meritokrasi yang adil dan saksama. Madani adalah tentang keadilan untuk semua. Saya menyertai Keadilan (PKR) untuk tujuan, keadilan untuk semua.
"Saya akan terus berjuang untuk tujuan itu. Bravo saudara Nhavin, anda telah menunjukkan contoh yang baik. Pendidikan adalah kekayaan, pendidikan untuk semua," ciapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram