BEKAS Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menafikan bahawa beliau merupakan lelaki yang dilihat dalam video sembang lucah yang tular baru-baru ini.
Pada masa sama, Mohammad Agus berkata, lelaki yang terdapat dalam video tersebut bukanlah dirinya malah ia sudah disunting.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa beliau melakukan perbualan lucah dengan seorang lelaki bernama Wahab dalam video tersebut.
"Saya menafikan (saya dalam) video itu. Bahawa video itu telah direka untuk memerangkap saya," katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Bukan itu sahaja, 'Wahab' dilihat turut hadir dan memberi maklum balas terhadap video berkenaan.
Tangkap layar video tular yang mendakwa lelaki tersebut adalah Mohammad Agus dan Wahab. — Facebook
Dia yang bernama Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa video tersebut telah disunting oleh seorang lelaki yang digelar 'Encik H' yang cuba untuk menjatuhkan nama baik Mohammad Agus.
Sementara itu, Wahab yang baru memulakan tugas di J-KOM sejak 1 November lalu berkata, dia merupakan 'kambing hitam' bagi memerangkap Agus untuk tujuan tertentu.
"Saya menegaskan bahawa perbualan video tersebut disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjatuhkan kredibiliti Datuk Dr Agus.
"Komplot untuk menjatuhkan Datuk didalangi individu berjawatan tinggi di dalam J-KOM sendiri yang saya namakan sebagai ‘Mr H’.
"Saya diarahkan untuk membuat satu rakaman perbualan video bersama Datuk Agus bagi mendapatkan bukti beliau terlibat dalam aktiviti songsang dan tidak bermoral.
"Hakikatnya video yang saya rakam adalah tidak mempunyai audio," dakwanya. — The Star/ALLISON LAI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram